KOTA KINABALU: Sembilan premis makanan di kawasan Polytechnic Commercial Centre (PCC), di sini, diarah tutup selepas didapati kotor dengan najis tikus dan lipas di bahagian dapur.
Operasi Bersepadu Akta Makanan 1983 yang dilaksanakan semalam turut mengeluarkan 11 notis kepada pemilik premis serta pengendali makanan atas pelbagai kesalahan lain.
Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Prabakaran Dhanaraj, berkata operasi berkenaan dijalankan serentak di seluruh negeri ini.
Katanya, sebanyak 15 premis makanan di kawasan PCC diperiksa dan sembilan didapati tidak menepati standard ditetapkan dan diarah tutup untuk kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Pada masa sama, sebanyak 11 notis mengikut 32B Akta Makanan 1983 turut dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan selepas pelbagai kesalahan dikesan.
“Antara kesalahan termasuk gagal mendaftarkan premis makanan dengan Kementerian Kesihatan, pengendali makanan tidak menjalani latihan, tiada suntikan anti-tifoid dan berkait pakaian pengendali makanan,” katanya, hari ini.
Kesalahan lain yang turut dikesan, gagal mematuhi kehendak kewajipan mengekalkan premis bersih dan bebas daripada sampah serta makhluk perosak seperti tikus dan lipas.
“Dalam operasi sama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), masing-masing mengeluarkan 13 notis serta satu kompaun disebabkan pelbagai pelanggaran,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu bagi memastikan premis makanan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Ia dilaksanakan Unit Inspektorat serta Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM selain turut disertai agensi lain seperti KPDN Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKK.
“Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu ingin menasihatkan semua pemilik premis makanan agar sentiasa peka terhadap aspek kebersihan premis makanan seperti yang tertakluk dalam peruntukan undang-undang.
“Kita juga akan terus memeriksa premis makanan di seluruh kawasan bandar raya ini bagi melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan serta penggunaan makanan, selain perkara berkaitan,” katanya.
BERITA HARIAN